Tuesday, July 5, 2011

Kisah Imam Abu Hanifah dengan Abu Ayyub

Petang itu selepas selesai mengajar, Imam Abu Hanifah berjalan pulang ke rumahnya. Di pertengahan jalan dia bertemu dengan Abu Ayyub, seorang saudagar yang kaya. Kebetulan anaknya belajar dengan Imam Abu Hanifah.

    " Tuan Imam Abu Hanifah, sejak anak saya belajar dengan tuan sikapnya sudah berubah. Sekiranya dahulu dia seorang yang degil, sekarang sudah menjadi anak yang hormat ibu dan bapa. Dia juga dapat menghafaz Quran. Saya berasa terhutang budi kepada tuan," kata Abu Ayyub dengan wajah gembira.

    " Semuanya itu dengan izin Tuhan serta doa daripada kamu juga. Sesungguhnya doa-doa daripada ibu bapa  pada anaknya dimakbulkan Tuhan," kata Imam Abu Hanifah pula.

    " Tuan Imam Abu Hanifah, sebagai tanda bersyukur dan ucapan terima kasih saya pada tuan, sudilah menerima pemberian daripada saya ini," kata Abu Ayyub sambil mengeluarkan satu uncang duit dari poket jubahnya.

     " Di dalam uncang ini ada dua ribu dinar. Saya hadiahkan kepada tuan dengan hati yang ikhlas," kata Abu Ayyub lalau menghulurkan duit itu kepada Imam Abu Hanifah.

     " Saya menerima pemberian tuan ini, tetapi bukan untuk diri saya. Duit ini akan saya  gunakan bagi membantu pelajar miskin yang kurang bernasib baik," kata Imam Abu Hanifah.

     " Tuan Imam Abu Hanifah, duit ini saya beri kepada tuan sebagai hadiah. Mengenai pelajar miskin itu, saya sanggup membiayainya. Tuan senaraikan nama-nama mereka dan saya akan membantunya," kata Abu Ayyub.

      Imam Abu Hanifah mengucapkan terima kasih atas keihklasan saudagar kaya itu membantu pelajar-pelajar yang miskin.

      Kemudian Imam Abu Hanifah bertemu pula dengan Imam Abu Zar yang sedang mengajar anak-anak membaca Quran. Beliau bertanyakan mengenai Hammad yang belajar mengaji dengannya.

     " Hammad seorang anak yang cerdik. Pada hari ini dia sudah dapat menghafaz surah Al-Fatihah,"  beritahu Abu Zar sambil memuji Hammad.

     Imam Abu Hanifah gembira mendengarnya. Beliau menyeluk saku mengeluarkan duit sebanyak 500 dirham lalu diberikan kepada Imam Abu Zar.

    " Ini adalah hadiah daripada saya kerana tuan mengajar anak saya membaca surah Al-Fatihah," kata Imam Abu Hanifah.

    "Tuan, jumlah ini terlalu banyak. Sedangkan saya mengajar secara sukarela tanpa meminta apa-apa upah," kata Imam Abu Zar apabila diberikan 500 dirham.

    " surah Al-Fatihah yang kamu ajar kepada anak saya itu jauh lebih berharga daripada duit sebanyak 500 dirham," kata Imam Abu Hanifah.

    " Tuan, pahala yang saya dapat kerana mengajar Hammad membaca Al-Fatihah itu jauh lebih bernilai daripada yang tuan berikan," Kata Imam Abu Zar lalu menolak pemberian Imam Abu Hanifah.

No comments:

Post a Comment