Friday, July 29, 2011

Imam Malik yang Dermawan

Semakin hari semakin ramai yang datang berguru pada Imam Malik. Setiap kali beliau mengajar ilmu hadis, orang ramai memenuhi majlis tempat dia mengajar.

   "Guru kita Imam Malik sudah terkenal. Hidupnya tidak lagi susah kerana rezeki datang melimpah. Beliau suka memakai pakaian daripada kain yang bermutu jenis Adaniyah keluaran negeri Aden, kain Khurasaniyyah daripada kain Khurasan. dan juga kain Misriyyah keluaran negeri Mesir. Beliau juga suka memakai bau-bauan yang harum jenis kasturi dan anbar" puji Imam Asyhab bin Abdul Aziz yang menjadi anak muridnya.

     " Beliau sudah mempunyai seorang isteri dan seorang anak perempuan. Suatu ketika dahudu anak perempuannya sering menangis kerana kelaparan. Tetapi sekarang mereka sudah senang dan kaya," kata Imam Syamsuri pula.

     " tapi masih ada satu kekurangan  lagi. Beliau masih belum mempunyai rumah sendiri. Beliau dan keluarga masih menyewa di rumah kediaman Abdullah bin Mas'ud," kata Imam Asyhab.

      " Saya cadangkan kita berpakat dengan kawan-kawan berkongsi membelikan rumah kediaman untuk guru kita. Mereka tentu bersetuju kerana ramai di antara kawan-kawan kita anak orang kaya dan berharta," cadang Imam Syamsuri.

Cadangan itu memdapat persetujuan ramai. Mereka sanggup menderma duit masing-masing lalu diserahkan kepada Imam Malik supaya digunakan bagi membeli sebuah rumah. Tetapi Imam Malik tidak membelinya. Duit itu disedekahkannya kepada fakir miskin dan mereka yang memerlukannya.

    Pada suatu hari, khalifah Hisyam bin Malik mengerjakan ibadat haji ke tanah suci Mekah. Kebetulan Imam Asyhab juga turut mengerjakannya. Apabila mereka bertemu, kahlifash Hisyam bertanya kisah Imam Malik.

   " Benarkah guru kamu, Imam Malik masih belum mempunyai rumah sendiri?" tanya khalifah Hisyam.

     " Memang benar, Amirul Mukminin. Beliau masih menyewa di rumah Abdullah bin Mas'ud," jawab Imam Asyhab.

     Khalifah Hisyam terkenal dengan sifat pemurahnya. Baginda sering memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan. Selepas selesai mengerjakan ibadat haji, baginda pergi ke Madinah bagi menziarahi makam Rasullullah. Semasa berada di Masjid Nabi, Baginda turut mendengar Imam Malik membacakan hadis nabi kepada anak-anak muridnya.

      " Adakah tuan masih belum mempunyai rumah sendiri?" tanya khalifah Hisyam.

     "Saya menyewa rumah Abdullah bin Mas'ud, Amirul Mukminin" jawab Imam Malik.

     " Tidakkah tuan guru pernah mendengar kata-kata Rabi'ahyang juga guru tuan bahawa seorang manusia itu dinamakan manusia kerana mempunyai rumah sendiri?" tanya khalifah Hisyam.

     " Benar, Amirul Mukminin" jawab Imam Malik.

     Khalifah al-Mahdi memberikahnya wang sebanyak 2,000 dinar lalu disuruhnya membeli sebuah rumah. Imam Malik menerima pemberian itu. Seblum khalifah Hisyam pulang ke Damsyik, sekali lagi baginda menemui Imam Malik lalu berpesan supaya gunakan duit yang diberikan itu bagi membeli sebuah rumah.

    Sedang Imam Malik merancang mahu membeli rumah, dia mendapat tahu beberapa orang anak muridnya yang terdiri daripada keluarga miskin menghadapi masalah kewangan. Beliau terus mengagih-agihkan wang pemberian khalifah itu kepada mereka sehingga habis. Baginya, membantu mereka yang memerlukan bantuan itu lebih penting daripada mambeli rumah. Tambahan pula dia sudah ada rumah kediaman iaitu rumah sewanya.

rujukan: Imam-Imam yang Benar.

P/s: moga-moga sifat dermawan yang ditunjukkan oleh Imam Malik dapat menjadi pengajaran kepada kita terutamananya keluarga yang berada. Moga-moga sifat dermawan Imam Malik ini dapat dijadikan contoh kepada kita untuk menderma kepada golongan yang memerlukan. Tambahan pula pada Bulan Ramadhan Al-Mubarak ini. Tingkatkan amalan kita di bulan Ramadhan ini.. Wallahua'lam.. Selamat menyambut Bulan Ramadhan Al-Mubarak. Bulan yang istimewa.

No comments:

Post a Comment